Harga RTK antigen Covid-19 terus diturunkan sebelum hujung tahun ini

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan akan terus menurunkan harga Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 sebelum penghujung tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia dilaksanakan setelah mendengar keluhan rakyat yang memohon agar kerajaan mengambil inisiatif sewajarnya bagi membolehkan alat ujian ini boleh dibeli pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran yang ada.

“Menyedari kepentingan alat ini sebagai satu keperluan utama ketika pandemik ini, kementerian akan menurunkan harga sebelum hujung tahun ini untuk memastikan ia menjadi barang keperluan mampu milik.

“Bagi harga satu unit kit ini, kami tidak dapat mendedahkan dahulu berapa harganya, tetapi harganya akan diturunkan sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan pemeriksaan di Shine Pharmacy, The Spring Shopping Mall, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan bahawa pewartaan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri) sebagai barangan harga terkawal telah dibuat oleh Kerajaan dan berkuat kuasa pada 5 September ini.

Sehubungan itu, bagi pemborong dan peruncit kit ujian kendiri Covid-19 berkenaan, beliau turut memberi tempoh selama tujuh hari untuk penyesuaian harga peralatan itu mengikut kadar ditetapkan.

“Harga borong bagi satu set kit ujian kendiri itu ditetapkan berjumlah RM16, manakala harga runcit pula RM19.90 yang diwartakan mulai hari ini,” tambahnya.

Suara Sarawak