Harga runcit kit ujian pantas RM19.90, borong RM16

KUCHING: Berkuat kuasa 5 September ini, harga maksimum kit ujian pantas (RTK) antigen Covid-19 ditetapkan pada harga RM16 (borong) dan RM19.90 (runcit) seunit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan, harga siling tersebut ditetapkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, penentuan harga tersebut dibuat berikutan permintaan dijangka akan meningkat susulan kesedaran orang ramai untuk melakukan ujian sendiri dalam memastikan diri bebas daripada wabak Covid-19.

“KPDNHEP telah mengadakan libat urus dengan semua pemain industri untuk menentukan harga kawalan yang berpatutan kepada semua pihak berikutan dijangka kesan persaingan akan menstabilkan lagi harga jualan seperti yang berlaku kepada harga pelitup muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan dan gagal mematuhi peraturan dengan menjual melebihi harga siling akan dikenakan tindakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali (individu).

Kit ujian kendiri ini merupakan peranti diluluskan secara bersyarat oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi pengesanan antigen yang menyebabkan Covid-19 dengan menggunakan sampel bendalir mulut atau calitan hidung.

Harga borong dan runcit kit ujian pantas Antigen Covid-19

Suara Sarawak