Hari Lahir Ke-85 TYT disambut tiga hari

KUCHING: Sambutan Hari Lahir Ke-85 Yang Di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud akan berlangsung selama tiga hari bermula pada 8 hingga 10 Oktober ini di Kuching.

Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kesemua majlis akan dilaksanakan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) terutama berhubung dengan kehadiran tetamu.

“Sambutan akan dimulakan dengan majlis kesyukuran pada 8 Oktober di Masjid Jamek, Petra Jaya.

“Manakala bagi yang bukan Islam pula, mereka akan mengadakan majlis sendiri yang dianjurkan oleh Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor)…bersama-sama kita mendoakan kesejahteraan dan kesihatan yang baik untuk TYT,” katanya.

Beliau yang juga menteri bertanggungjawab berkata demikian pada sidang media sempena Sambutan Hari Lahir Ke-85 Tuan Yang Di-Pertua Negeri di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Menjelas lanjut, Rundi berkata pada 9 Oktober, tiga acara yang akan berlangsung iaitu Majlis Istiadat Rasmi di dataran perbarisan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Dewan Lapau Dun dan Majlis Jamuan Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Manakala, katanya pada 10 Oktober akan diadakan Majlis Jamuan Teh di Dewan Santapan DUN.

“Majlis akan diserikan lagi dengan pelbagai persembahan namun untuk mematuhi SOP yang ditetapkan, hanya 300 tetamu sahaja yang dibenarkan hadir,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak