Hospital baharu diperlukan di Sungai Asap

BINTULU: Kementerian Kesihatan perlu mempertimbangkan pembinaan sebuah hospital baharu di Sungai Asap, Apo Kayan di Daerah Belaga.

Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata ia memandangkan saiz Hospital Kapit sedia ada tidak dapat menampung bilangan pesakit yang kian bertambah dari hari ke hari.

“Klinik Ng Mujong, Ng Gaat dan Sg Tunoh, Klinik Tubau, Klinik Ng Merit juga perlu dinaik taraf dengan kadar segera,” katanya dalam perbahasan persidangan Parlimen hari ini.

Selain itu, beliau mencadangkan agar klinik-klinik di kawasan luar bandar dijadikan pusat kuarantin sementara bagi membolehkan mereka yang bergejala Covid-19 dapat menjalani tempoh kuarantin tidak jauh dari penempatan mereka.

Beliau turut memohon kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mempercepatkan Projek Menaiktaraf Jalan Balak ke Penempatan Semula Tegulang di daerah Belaga sejauh 9.5km.

Wilson juga mendesak agar perhatian segera diberikan terhadap Projek Menaiktaraf Jalan Balak Ke Penempatan Semula Mentalun di Daerah Belaga sepanjang 17.5km dan Projek Jalan Rh Nyamok ke SMK Baleh terus ke Rh. Layang di Ng Kain, Baleh.

Beliau telah banyak kali membawa perkara itu untuk perhatian pihak kementerian berkenaan, namun sentiasa menerima jawapan yang mengecewakan.

“Rakyat di kawasan saya tidak meminta bangunan pencakar langit, hanyalah perhubungan jalan raya yang baik,” katanya.

Justeru, beliau berharap perkara itu akan menjadi agenda utama menteri KPLB dalam memastikan permasalahan tersebut mendapat jalan penyelesaian dengan kadar segera.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak