Hospital Petra Jaya dijangka mula operasi 2024

KUCHING: Hospital Petra Jaya dijangka akan mula beroperasi dalam tempoh tiga tahun lagi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, projek menyiapkan baki kerja-kerja terbengkalai hospital tersebut sudah mula dilaksanakan oleh kontraktor baharu pada Januari lalu.

“Ia akan mengambil sedikit masa kerana dalam tempoh beberapa bulan ini, kontraktor baharu dilantik itu sedang melakukan kerja-kerja pembersihan tapak termasuk mengeluarkan peralatan kontraktor lama dan membersihkan kawasan tempat letak kereta yang telah dibanjiri air.

“Semua kerja pembinaan juga dalam pelaksanaan, oleh itu kita berharap kontraktor baharu ini akan dapat menyiapkannya dalam masa yang ditetapkan dan mula beroperasi pada 2024,” katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, hari ini.

Untuk rekod, Hospital Petra Jaya dibina bertujuan untuk menyediakan prasarana perkhidmatan kesihatan yang kondusif serta sebagai hospital kedua bagi penduduk di Bahagian Kuching termasuk Bau, Lundu dan sekitarnya.

Hospital yang pada mulanya dijangka menelan kos keseluruhan RM495 juta dan mempunyai 300 katil itu dibina pada 30 Mei 2013 dan sepatutnya siap pada 30 Jun 2018.

Namun berikutan prestasi kemajuan projek yang tidak memuaskan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah mengeluarkan Notis Penamatan Pengambilan Kerja Kontraktor pada 2 Ogos 2018.

 

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak