i-GPS: Inisiatif Graduan Pulang Sarawak

SEMEMANGNYA banyak inisiatif dan subsidi yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.

Usaha tersebut membuktikan Kerajaan Sarawak begitu peka dan prihatin membela nasib rakyat serta mengurangkan kos sara hidup.

Semasa sesi Lan Berambeh Anak Sarawak pada 2018, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan pelajar Sarawak yang menuntut institusi pengajian tinggi (IPT) diberi insentif subsidi tiket penerbangan balik Sarawak semasa musim perayaan.

Beliau dalam ucapannya memberitahu keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam isu yang dibangkitkan oleh golongan mahasiswa dalam program Lan Berambeh.

Oleh itu, Abang Johari mengilhamkan Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (i-GPS) dilaksanakan segera.

Pemberian insentif ini juga bertujuan meringankan beban pelajar Sarawak membeli tiket penerbangan semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina pada 2019.

Melalui insentif ini, Kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak memberi subsidi RM300 kepada pelajar Sarawak yang belajar sepenuh masa di IPT yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk pulang ke Sarawak.

Sebagai rekod, inisiatif ini juga di bawah kendalian bersama-sama Yayasan Sarawak dan Sarawak Volunteers.

Penasihat Sarawak Volunteers merupakan Adun Tupong, Fazruddin Abdul Rahman. Sarawak Volunteers bertanggungjawab memproses permohon dan menyelaraskan pembayaran terus ke akaun pemohon yang berjaya menerusi aplikasi Yayasan Sarawak Student Apps.

Selain itu, pemohon juga dapat melayari laman sesawang Yayasan Sarawak.

Syarat mohon i-GPS ANTARA terma dan syarat permohonan mendapatkan insentif
ini ialah:

1. Pemohon mestilah anak Sarawak yang berusia 18 tahun dan ke atas pada tarikh penerbangan.

2. Nilai subsidi i-GPS untuk satu permohonan yang berjaya ialah RM300.

3. Seorang pemohon hanya layak menerima subsidi i-GPS sebanyak
dua kali.

4. Pemohon masih aktif dan belajar sepenuh masa di mana-mana IPT di Malaysia yang
berdaftar dengan KPT pada tarikh penerbangan.

5. Perjalanan penerbangan pemohon dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Wilayah
Persekutuan Labuan balik ke Sarawak sahaja.

6. Permohonan dan kemas kini permohonan hendaklah dibuat secara dalam talian sahaja.

7. Pemohon hendaklah menghantar permohonnan yang betul dan lengkap dalam tempoh
60 hari selepas tarikh penerbangan dilakukan.

8. Permohonan i-GPS TIDAK TERPAKAI untuk penerbangan seperti berikut:

a. Penerbangan yang ditaja oleh kerajaan atau agensi berkaitan kerajaan atau-mana-mana organisasi lain.

b. Penerbangan yang ditunda atau dibatalkan oleh syarikat penerbangan.

c. Permohonan yang lewat, tidak lengkap, diragui dan/atau palsu tidak dilayan atau ditolak tanpa notis.

d. Setiap permohonan tertakluk kepada terma dan syarat permohonan i-GPS yang ditetapkan.

e. Sarawak Volunteers berhak mengubah terma dan syarat permohonan tanpa sebarang notis.

f. Sebarang keputusan oleh Sarawak Volunteers terhadap mana-mana permohonan adalah muktamad.

Cara memohon: Setiap permohonan perlu melalui salah satu daripada kaedah berikut:

a. Pautan laman sesawang yayasansarawak.org.my

b. Aplikasi mudah alih Yayasan Sarawak yang dapat dimuat turun daripada Apple App Store dan Google Play Store. Setiap permohonan yang dihantar akan diproses dalam tempoh 14 hari bekerja.

Aplikasi Yayasan Sarawak Student App dapat dimuat turun oleh pemohon yang layak menerusi Apple App Store dan Google Play Store. Pelajar juga dapat melayari Facebook Sarawak Volunteers, e-mel sarawakvolunteers@gmail. com atau hubungi 011-33221107 pada waktu pejabat.

Fazruddin ditemu ramah oleh media pada 6 Mac lalu memaklumkan sebanyak 13,167 permohonan yang diluluskan yang menelan perbelanjaan RM3,830,700 pada 2020.

“Sejak program ini diperkenalkan pada 2019, sebanyak 31,285 permohonan dikemukakan sehingga Disember 2020.”

Beliau juga memberitahu i-GPS masih beroperasi seperti biasa meskipun negara berada dalam pelaksanaan PKP akibat ancaman koronavirus.

 

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak