Jangan cincai tulis berita

KUCHING: Wartawan yang bagus apabila menulis berita bukan berita cincai – ala kadar atau tugasan yang alang-alang, kata bekas Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang.

Mantan wartawan terkenal yang sudah menjelajah lebih 60 negara memburu berita itu berkata, ini kerana berita yang ditulis wartawan dibaca orang ramai lebih-lebih lagi sekarang boleh diakses dalam talian berbanding media cetak dahulu.

“Laporan anda akan dibaca oleh orang ramai. Justeru anda mesti memberi yang terbaik dan tidak boleh ala kadar menyampaikan maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel Penulisan Berita yang Berkesan bersama-sama pengamal media di Sarawak melalui aplikasi Zoom, kelmarin.

Hampir 70 wartawan yang mewakili media masing-masing – Suara Sarawak, New Sarawak Tribune, TVS dan Astro Awani mengikuti bengkel selama dua jam itu.

Anak kelahiran Sarawak ini mempunyai pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang kewartawanan dan merupakan seorang tokoh terkenal.

Katanya lagi, setiap wartawan harus melapor sesuatu berita yang mudah difahami dan jelas, agar maklumat tersebut dapat mencapai masyarakat dengan lebih berkesan.

“Untuk menjadi seorang wartawan yang berjaya, individu itu hendaklah memiliki aspek motivasi yang sangat tinggi kerana kerjaya ini memerlukan banyak tenaga.

“Sekiranya anda tiada motivasi kemungkinan ini bukan kerjaya yang anda minati,” katanya.

Tambahnya lagi, pengamal media itu juga harus melakukan persediaan yang lebih awal sebelum turun padang membuat liputan kerana maklumat awal akan memudahkan kerja.

“Menyediakan soalan hebat sebelum melakukan tugasan terutamanya apabila membuat berita eksklusif berbanding menulis berita yang biasa. Ini sekiranya jika anda mahu menjadi wartawan yang berjaya,” kongsinya.

Pada masa sama katanya, penggunaan bahasa mudah dan jelas juga memain peranan kepada orang ramai untuk terus kekal membaca berita yang dilaporkan.

Menurut Azman, penggunaan bahasa yang sukar difahami akan mendorong orang untuk tidak membaca sesuatu berita.

“Sebagai pengamal media khususnya wartawan baharu, kita tidak seharusnya membiarkan cerita itu tergantung dalam pengertian bahawa orang tidak tahu pengakhirannya.

“Sebaliknya, ia harus berkembang dan menarik sehingga orang memahami apa yang anda ingin sampaikan.

“Contoh mudah ialah apabila berita anda difahami oleh suri rumah, ini bermakna anda telah melakukan kerja yang terbaik,” ujarnya.

Selain itu, memilih pengenalan berita yang mengagumkan dan menarik juga boleh menarik lebih ramai orang untuk membaca.

Dalam hal ini katanya, latihan berterusan sangat penting dalam mengenal pasti maklumat yang perlu diutamakan dalam memulakan sesuatu laporan berita.

“Sekiranya anda mempunyai bakat untuk menulis, maka, ia tidak akan menjadi masalah.

“Tetapi jika sebaliknya, anda akan menghadapi kesusahan namun, masalah itu dapat diatasi dengan membuat banyak latihan,” nasihat bekas ketua pengarang Bernama ini.

Pada akhir sesi itu, beliau berharap ramai wartawan yang berbakat dapat dibentuk dan melaporkan segala aktiviti dan isu-isu semasa yang berlaku di kawasan masing-masing.

Suara Sarawak