Jangan pandang remeh gejala jangkitan, kata Khairy

KUCHING: Rakyat perlu mengubah pandangan mengenai isu penjagaan kesihatan walaupun hanya mengalami gejala ringan seperti demam dan selesema dalam menjalani kehidupan bersama pandemik Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pendekatan komuniti termasuk perubahan dalam tingkah laku sangat penting dalam tempoh berkenaan.

“Saya berasa kunci utama kepada perkara tersebut adalah tingkah laku penyembuhan dan pengubatan (health seeking behavior).

“Kerana sebelum ini ia berbeza, jika dahulu apabila kita mengalami demam dan gejala ringan yang lain, mungkin kita tidak merujuk kepada mana-mana doktor atau fasiliti kesihatan.

“Bagaimanapun dalam kita hidup dengan Covid-19, gejala seperti ini tidak boleh dipandang remeh seperti dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini, hari ini.

Turut mengiringi beliau adalah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed serta wakil yang lain.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak