Jual mi sumber rezeki

KOTA SAMARAHAN: Keluarga merupakan antara pendorong bagi seseorang mengorak langkah menceburi sesuatu bidang, terutama perniagaan. Puspaliza Rambli, 38, merupakan antara peniaga kecil-kecilan yang menjual makanan berasaskan mi bertempat di Kafe TK, Kota Samarahan.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Puspa memberitahu pada mulanya tidak terfikir menceburkan diri dalam bidang ini.

Bagaimanapun, setelah mendapat inspirasi dan galakan keluarga mentuanya, beliau mengambil keputusan menjinakkan diri dalam bidang perniagaan.

“Pada mulanya saya tidak terfikir untuk menceburi bidang ini.

“Tetapi, setelah mendapat inspirasi daripada keluarga mentua saya yang mana mereka turut berniaga secara kecil-kecilan.

“Mereka banyak membantu saya dari segi semangat dan juga nasihat.

“Malah menu yang saya hasilkan ini adalah daripada bimbingan mereka,” katanya kepada Suara Sarawak.

Perniagaan yang dimulakan pada 2008 sehingga kini adalah untuk menjana pendapatan demi menampung perbelanjaan harian keluarga.

“Perniagaan ini kerja utama saya dan keuntungan yang diperoleh cukup untuk saya sekeluarga,” katanya ketika ditanya perniagaannya.

Dia berkata, keunikan dan perbezaan perniagaannya dengan peniaga lain ialah menu yang disediakan sebelum dihantar kepada pelanggan adalah berdasarkan cita rasa dan kehendak pelanggan.

Ketika ditanya tentang menu makanan, beliau memberitahu bahawa terdapat empat menu utama yang disajikan kepada pelanggan ketika mengunjungi gerainya.

Antara menu utama yang sering dipesan oleh pelanggan tetapnya ialah Laksa Sarawak, Mi Kolok, Mi Sup dan Mi Bakso.

“Selain itu, ada juga pelanggan yang meminta agar mi sedap disenaraikan sebagai salah satu daripada menu utama gerai saya.

“Mendengar permintaan tersebut, saya menambah baik menu gerai saya dengan meletakkan juadah tersebut sebagai salah satu menu untuk memenuhi kehendak mereka,” tambahnya lagi.

Waktu operasi gerai makanan beliau adalah dari 7.30 pagi sehingga 1.30 tengah hari dan tertumpu di sekitar kawasan Kota Samarahan sahaja.

Bagi pelanggan yang berminat mencuba sendiri keenakan masakan Puspa boleh membuat tempahan melalui WhatsApp atau hubungi talian 017-8523302.

Pada akhir temu bual, beliau menzahirkan harapannya agar suatu hari dapat membuka premis perniagaan sendiri dan seterusnya melebarkan cawangan.

Suara Sarawak