Judi dalam talian warga emas didenda RM10,000

KUCHING: Seorang warga emas dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan terlibat dengan aktiviti perjudian dalam talian.

Tertuduh berusia 63 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca dihadapan Hakim Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjalankan urusan dengan mesin judi menggunakan sebuah telefon pintar pada 30 Ogos lepas.

Jika disabit bersalah, boleh dihukum denda antara RM10,000 hingga RM100,000 bagi setiap mesin judi dan hukuman penjara maksimum lima tahun.

Menurut fakta kes, hasil intipan pihak polis di kaki lima premis makanan di Jalan Gold Jade sekitar 2.00 petang, 30 Ogos lepas, berjaya menangkap seorang lelaki yang sedang duduk bermain judi dalam talian jenis mega888 menggunakan sebuah telefon pintar.

Hasil siasatan lanjut, barang kes yang dirampas daripada tertuduh disahkan sebagai mesin judi oleh pakar judi.

Oleh itu, tertuduh ditangkap di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 atas kesalahan mengendalikan mesin judi.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak