Jurujual didenda RM10,000 kendalikan mesin judi

KUCHING: Seorang jurujual dijatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan mengendalikan mesin judi.

Hakim Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap Wong Poh Ming, 21, selepas mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dibaca di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah kondominium di Jalan Stutong Baru sekitar jam 2.00 petang pada 21 Julai lalu.

Oleh itu, dia didakwa di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM10,000 hingga RM100,000 jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Kuching telah melakukan satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Stutong Baru sekitar jam 2.00 petang, 21 Julai lepas.

Hasil pemeriksaan di sebuah rumah yang berjaya menahan seorang lelaki yang sedang duduk dihadapan komputer yang dipercayai digunakan sebagai mesin untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

Tertuduh kemudian ditahan dan barang-barang kes turut dirampas seperti dua set komputer, dua unit modem dan sebuah telefon pintar.

Hasil siasatan mendapati hanya satu set komputer yang sah sebagai mesin judi iaitu barang-barang yang dirampas dari tertuduh.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak