Karya terbaik dipamer secara maya

KOTA SAMARAHAN: Dua karya terbaik iaitu Malon dan Munsop ra Katanaan akan dipamerkan di Cetusan Inspirasi Pelajar Tahun Akhir (Cipta) 2021 secara maya.

Unimas dalam satu kenyataan memaklumkan, Malon adalah karya pelajar seni halus yang dicipta menerusi video bergerak pegun yang membawa unsur feminisme dan menceritakan tentang diskriminasi dan manipulasi oleh kaum lelaki terhadap wanita.

Menurutnya, Munsop ra Katanaan merupakan filem pendek karya pelajar sinematografi yang menceritakan tentang cerita rakyat daripada kaum Murut,” jelas kenyataan tersebut.

Cipta 2021 akan diadakan selama sebulan bermula 24 September hingga 24 Oktober depan yang mempamerkan pelbagai aktiviti kesenian bertemakan Beyond The Space.

Jelasnya, Cipta merupakan acara tahunan pelajar tahun akhir Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) Unimas yang mempamerkan hasil karya seni pelajar kepada khalayak umum secara dalam talian.

“Pengunjung akan mendapati hasil karya seni yang dipamerkan secara maya dalam Cipta 2021 mempunyai satu matlamat yang sama, iaitu menyediakan ruang kepada pengkarya dan peminat seni menginterprestasikan hasil karya seni lalu disebarkan secara meluas kepada masyarakat setempat mahupun antarabangsa,” kata kenyataan itu lagi.

Selain dapat melihat pameran hasil karya seni pelajar pengunjung turut dijemput untuk menghadiri perasmian Cipta 2021.

“Pihak penganjur mengalu-alukan kehadiran orang ramai termasuk pelajar sekolah, kolej, institusi pengajian tinggi, agensi awam dan swasta yang berkaitan.

“Pihak penganjur turut menjemput penggiat, peminat, pemerhati dan pengkritik seni, industri kreatif serta para pengusaha produk kesenian komersial untuk menghadiri Cipta 2021.

“Ini merupakan kesempatan untuk para majikan mencari bakal pekerja yang berkemahiran dan berpotensi tinggi,” jelas kenyataan itu lagi.

Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Mohd Affendi Azizan di talian 082-581386 atau e-mel amaffendi@unimas.my dan melalui laman sosial Facebook dan Instagram CIPTA 2021.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak