Kastam Limbang rampas rokok dan minuman keras bernilai RM4,780 tanpa cukai

LIMBANG: Sebanyak 14,200 batang rokok dan 224.2 liter minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai telah dirampas dalam satu serbuan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sebuah rumah di Jalan Batu 3 1/2, Jalan Kubong di sini pada Jumaat lepas.

Pengarah Kastam Sarawak Herman Shah Abdullah berkata, rokok dan arak yang dirampas dianggarkan bernilai RM4,780 dan anggaran nilai duti dan cukai yang terlibat adalah RM14,468.83.

Katanya, serbuan dijalankan sekitar jam 10.30 pagi oleh sepasukan pegawai kastam cawangan penguat kuasaan JKDM Limbang dan Pasukan Risikan Sarawak dengan kerjasama Cawangan Siasatan Khas (CSK).

“Ketua pasukan iaitu Ketua Cawangan Penguatkuasaan JKDM Limbang mengarahkan pasukan serbuan untuk memeriksa kawasan dan di dalam rumah tersebut selepas pemilik rumah tersebut memberi kerjasama kepada pasukan serbuan.

“Hasil pemeriksaan mendapati barang rampasan yang tidak bercukai itu dijumpai di dalam van yang diletakkan di perkarangan rumah dan di dalam stor di belakang rumah
tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Herman berkata, pihaknya turut merampas van tersebut dianggarkan bernilai RM 18,000.

Selain itu katanya, wanita berusia 50-an yang juga pemilik rumah turut ditahan untuk membantu siasatan.

“Modus operandi kegiatan ini menggunakan rumah kediaman sebagai tempat menyimpan dan menjual barangan
tidak bercukai,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjara tidak kurang daripada enam
bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Suara Sarawak