KDN komited atasi isu dokumentasi pengenalan diri

KUCHING: Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sentiasa komited dalam memastikan urusan pendaftaran dokumen pengenalan diri individu yang berkelayakan dapat dilaksanakan dengan mudah di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman melalui inisiatif berterusan program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR).

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata Program MEKAR adalah satu program yang menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuklah khidmat nasihat berkaitan pendaftaran Kad Pengenalan, Kelahiran, dan Kematian serta memberikan taklimat berkaitan kepentingan dokumen pengenalan diri.

“Antara inisiatif tambahan yang sering dilaksanakan oleh kementerian adalah pelaksanaan pelbagai operasi penguatkuasaan seperti OP Patuh untuk mengawal dan menilai pematuhan masyarakat terhadap SOP Perintah Kawalan Pergerakan dan Pelan Pemulihan Negara,”katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni berhubung langkah membantu rakyat tempatan luar bandar dan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak mendapatkan dokumen pengenalan diri di sidang dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya lagi semasa pemeriksaan OP Patuh, kementerian sentiasa menasihatkan semua pihak terutamanya majikan untuk memastikan setiap pekerja yang digajikan adalah mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.

“Majikan turut dinasihatkan supaya meregularisasikan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk memastikan semua pekerja adalah berdokumen dan mendapat akses kepada vaksinasi COVID-19.

“Ini adalah bertepatan dengan garis panduan SOP Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PICK-PATI) yang diluluskan oleh Kerajaan,” ujarnya.

Malah bagi di Sarawak katanya pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Peringkat Negeri Sarawak bagi meneliti proses dokumentasi bagi individu yang tidak berdokumen berumur 21 tahun ke bawah.

Manakala katanya bagi Sabah, perkara tersebut dibincangkan menerusi penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS)

Sebagaimana pengeluaran kad pengenalan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) katanya adalah berdasarkan Akta Pendaftaran Negara 1959 [Akta 78] dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 [PPN1990] kepada mana-mana individu yang berusia genap 12 tahun dan tidak lagi dikecualikan di bawah PPN1990.

“Kad Pengenalan hanya dikeluarkan kepada mana-mana individu yang memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di bawah perundangan dan prosedur yang sedang berkuatkuasa.

“Maka adalah menjadi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan bagi mana-mana individu yang tidak lagi dikecualikan di bawah PPN1990 untuk tidak mendaftar dan memiliki kad pengenalan.

“Individu berkenaan boleh didakwa di bawah Peraturan 25(1)(a) PPN1990 dan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM2,000.00 atau kedua-duanya,” ujarnya lagi.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak