Kegiatan lombong kripto, curi elektrik terbongkar

MIRI: Kegiatan melombong mata wang kripto di sebuah rumah di Jalan Bakam di sini terbongkar selepas diserbu oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dan polis dalam satu operasi bersama baru-baru ini.

SEB dalam satu kenyataan berkata, serbuan tersebut turut menemui sejumlah 49 unit mesin melombong mata wang kripto bernilai RM245,000 serta sebuah modem internet.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat kecurian elektrik berlaku melibatkan penyambungan kabel secara haram daripada wayar utama yang dihubungkan terus ke mesin melombong maya wang kripto.

Bukti pendawaian terus untuk mencuri elektrik dalam premis.

“Aktiviti tersebut menyebabkan SEB mengalami kerugian sebanyak RM8,200 sebulan,” katanya, hari ini.

Tambah SEB, kesemua mesin dan pendawaian kabel secara haram turut dirampas sebagai bahan bukti dan satu laporan polis telah dibuat untuk siasatan lanjut.

“Pemilik premis akan didakwa atas kesalahan mencuri elektrik iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik yang boleh dijatuhkan denda RM100,000 dan/ atau lima tahun penjara jika didapati bersalah,” ujarnya.

SEB turut menggalakan orang ramai melaporkan sebarang aktiviti perlombongan mata wang kripto di kawasan kejiranan atau bangunan terbengkalai ke pusat perkhidmatan pelanggan di talian 1300-88-3111 atau e-mel di customercare@sarawakenergy.com.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak