Kejohanan Bina Badan Dunia Ke-12, Uzbekistan 2021:  Malvern idam pingat emas

KUCHING: Jaguh bina badan negara dari Sarawak, Dr Malvern Abdullah optimis dapat memberikan satu persembahan terbaik pada penampilan di Kejohanan Bina Badan Dunia Ke-12 2021 yang akan berlangsung di Taskent, Uzbekistan bermula dari 1 hingga 7 Oktober depan.

Ia sekaligus cuba mencetak keinginan untuk beroleh pingat emas dalam kejohanan berprestij itu.

“Saya akan berusaha menampilkan satu persembahan terbaik sepanjang saingan.

“Sememangnya pingat emas menjadi idaman saya dalam kejohanan itu,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Malvern akan bersaing dalam dua kategori kegemarannya iaitu Lelaki 60 kilogram (Men’s Senior Up To 60kg) dan Lelaki 40-50 Tahun 80 kilogram (Men’s Master 40-50 Years Old/Up To 80kg).

Menurutnya lagi, walaupun kemunculan pandemik Covid-19 sedikit sebanyak merencatkan persiapan dirinya namun, latihan tetap dijalankan meskipun dengan skala yang terhad.

“Memang situasi latihan agak berbeza, namun saya kekal fokus untuk meningkatkan prestasi,” katanya yang turut mengakui ia merupakan penampilan ketujuh dirinya dalam kejohanan dunia itu.

Malvern akui, cabaran sengit bakal menanti dirinya di kejohanan itu dengan himpunan peserta hebat dari beberapa negara lain kelak.

Bagaimanapun, dengan pengalaman serta persiapan dilakukan selama ini diharap mampu memberi kelebihan dirinya untuk mencipta sesuatu yang diinginkan.

Untuk rekod Malvern pernah meraih tempat kedua pada tahun 2015 dan 2017 selain menduduki tempat ketiga pada tahun 2016 dalam kejohanan itu.

Selain itu, beliau pernah muncul pemenang tempat pertama Kejohanan Bina Badan Asia 2017 dan tempat kedua pada tahun 2019.

Seorang lagi jaguh bina badan dari Sarawak turut sama berentap dalam kejohanan itu ialah Buda Anchah yang akan berentap dalam kategori Lelaki 70 kilogram (Men’s Senior Up To 70kg) dan Lelaki 40-50 Tahun 80 kilogram (Men’s Master 40-50 Years Old Up To 80kg).

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak