Kematian akibat Covid-19 di Sarawak meningkat

KUCHING: Kematian akibat Covid-19 di Sarawak meningkat dalam tempoh September ini, dengan kebanyakannya melibatkan pesakit berumur 60 tahun ke atas dan berkomorbid.

Pengarah Kesihatan Sarawak Datuk Dr Mohamed Sapian berkata sejumlah 145 kes kematian direkodkan dalam tempoh 1 hingga 20 September.

“Ia meningkat berbanding hanya 88 kematian bagi bulan Ogos 2021,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, masih terdapat banyak kluster baharu yang dilaporkan di negeri ini.

Sementara itu, Dr Sapian menyatakan Sarawak telah lebih sebulan mencatatkan bilangan kes harian melebihi angka satu ribu berturut-turut sejak 18 Ogos 2021.

“Setakat 20 September, sejumlah 3,619 kes baharu Covid-19 dilaporkan.

“Ini menjadikan kumulatif kes adalah sebanyak 183,407,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dr Mohamed Sapian mengingatkan masyarakat di Sarawak agar tidak leka dan terus kekal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti Covid-19 yang boleh membunuh.

Jelasnya, golongan yang berisiko, termasuk golongan berumur 60 tahun ke atas, mempunyai komorbid serta kanak-kanak yang belum layak menerima vaksin adalah diseru agar tidak pergi ke tempat sesak atau kawasan tumpuan ramai.

Katanya lagi, walaupun dibenarkan makan di dalam kedai makan, elakkan makan bersama orang bukan serumah dan tanggalkan pelitup muka hanya apabila menjamu selera dan pastikan pelitup muka dipakai semula apabila hendak berbual serta cepat beredar selepas sahaja selesai makan.

“Bersama-samalah bertanggungjawab untuk memutuskan rantaian perebakan jangkitan Covid-19 ini,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak