Kerajaan setuju pemberian dos ketiga vaksin Covid-19

KUCHING: Kerajaan bersetuju melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19, dalam usaha untuk meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan Covid-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keutamaan pemberian dos ketiga ini akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan.

Selain itu untuk pesakit kurang daya tahan imun, warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang serta apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

“Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga berkenaan.

Ismail berkata kesemua perincian berhubung pelaksanaan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Suara Sarawak