Kerani tidak mengaku pecah amanah lebih RM400,000

KUCHING: Seorang bekas kerani syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM443,357.24.

Tertuduh Lyndra Png Tze Lan, 37, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibaca di hadapan dua hakim secara berasingan.

Tertuduh yang ketika itu bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat pembekal dan pemborong produk petroleum di Jalan Bako melakukan pecah amanah dengan memasukan sejumlah wang milik syarikat ke dalam akaun peribadinya sejak Jun 2016 sehingga Jun 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga 14 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Jason Juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 berdeposit dengan dua penjamin tempatan bagi tiga pertuduhan yang dilakukan pada Jun 2016 hingga Disember 2018.

Selain itu, tertuduh yang diwakili peguam juga dibebaskan oleh Hakim Maris Agan bagi tiga pertuduhan lain dengan ikat jamin RM2,000 seorang penjamin tempatan.

Pihak pendakwaan juga diarah untuk menyerahkan semua dokumen yang berkaitan di bawah Seksyen 51A BPK kepada tertuduh pada tarikh sebelum atau pada kes dilanjutkan.

Mahkamah menetapkan kes dilanjutkan pada 18 Oktober depan.

Suara Sarawak