KGBS seru guru segera ambil vaksin Covid-19

KUCHING: Semua guru yang belum menerima vaksin Covid-19 diseru untuk segera mendapatkannya sebelum sesi persekolahan secara bersemuka bermula.

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Zulkiflee Sebli berkata, pihaknya tidak mahu ada dalam kalangan guru yang tidak divaksin akan memberi masalah dan menjejaskan sesi pembelajaran secara bersemuka kelak.

“Kepada para guru yang belum menerima sebarang vaksinasi, sila bertindak awal dengan pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdekatan.

“KGBS tidak mahu mereka ini akan memberi masalah dalam aspek menyumbang kepada kekurangan guru nanti kerana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mahu mengambil risiko dengan membenarkan guru yang belum divaksin mengajar secara bersemuka,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihaknya amat mengalu-alukan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka mulai 3 Oktober nanti.

“Kita pasti para pendidik sudah tidak sabar untuk turun mengajar secara bersemuka. Begitu juga murid-murid yang sudah agak lama tidak bertemu dengan guru-guru serta rakan-rakan mereka.

“Dalam pada itu, kita seharusnya turut risau dengan pertambahan kes harian yang mendadak terutama di Zon Selatan negeri ini, justeru para guru harus bersedia dan pastikan semua sudah menerima atau lengkap divaksin,” ujarnya.

Tambahnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) juga sudah pasti akan meneliti dengan sewajarnya sama ada untuk meneruskan sesi persekolahan bersemuka atau sebaliknya.

Suara Sarawak