KKM sokong bina Pusat Kanser Sarawak

KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menghantar permohonan cadangan pembinaan Pusat Kanser Sarawak kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, KKM amat menyokong cadangan pembinaan pusat tersebut kerana fasiliti kesihatan berkenaan amat diperlukan rakyat negeri ini.

“Kita sudah menerima permohonan Sarawak mengenai perkara tersebut dan akan mengemukakan kepada pihak EPU.

“Saya berharap ia dapat menyakinkan EPU untuk meluluskannya dan pihak kita (KKM) akan menggesa untuk pertimbangan segera,” katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, hari ini.

Terdahulu pada minggu lalu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata kerajaan negeri akan bekerja rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan pusat tersebut di Sarawak supaya rakyat tidak perlu pergi ke Semenanjung untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, ia penting kerana kos rawatan kanser sangat mahal menyebabkan ramai masyarakat tidak mampu mendapatkan rawatan swasta walaupun mempunyai insurans.

Di Sarawak, kanser merupakan penyakit nombor dua selepas penyakit jantung dan cadangan pembinaan pusat itu adalah berdekatan Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak