Kontraktor kelas E dan F disaran tidak terlalu bergantung kepada tenaga buruh dari luar Sarawak

 KUCHING: Kontraktor kelas E dan F disarankan untuk terus serius dan komited melaksanakan projek yang ditugaskan dan tidak bergantung kepada tenaga buruh daripada luar semata-mata, tegas Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Menurutnya, walaupun penularan pandemik ini memberikan pelbagai cabaran kepada kelas berkenaan seperti kekurangan tenaga kerja dan bahan binaan namun, ia bukan satu alasan yang baik.

“Saya mengatakan kelas E dan F kerana projek yang mereka kendalikan ini agak mudah dan kadang-kadang tidak memerlukan tenaga mahir daripada luar seperti membina jalan atau gelanggang.

“Sekiranya mereka komited dengan tanggungjawab yang telah diberikan untuk menyiapkan sesuatu projek, kemungkinan ada di kalangan anak tempatan kita yang mempunyai kemahiran dan dapat mengambil bahagian dalam projek ini,” katanya.

Katanya lagi, terdapat banyak golongan anak muda tempatan yang sudah dilatih di institusi-institusi kemahiran di negeri ini dan boleh mengambil bahagian sekali gus menjadi kontraktor yang berwibawa.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan projek Penyerahan Projek Transformasi Luar Bandar (gelanggang futsal) di Kampung Pasir Panjang, hari ini.

Mengulas mengenai projek RTP yang dirasmikan, Abdul Rahman Junaidi yang juga Adun Pantai Damai menjelaskan bahawa pembinaan gelanggang futsal ini dibina dengan kos RM200,000.

Jelasnya, projek RTP ini telah siap awal daripada yang dijadualkan.

“Pembinaan telah bermula Jun lalu dan dijangka siap Disember ini namun, pihak kontraktor berjaya menyiapkannya dalam tempoh tiga bulan dengan kemudahan asas standard gelanggang futsal dikelilingi pagar, lampu limpah, bilik persalinan dan tandas awam,” katanya.

Terbinanya gelanggang ini, beliau menjelaskan bahawa ia akan dapat memberi kemudahan kepada generasi muda dan golongan belia untuk mengadakan aktiviti sukan dan riadah.

“Kami sedia maklum bahawa permainan sukan futsal amat popular di kalangan belia kita hari ini, dan projek ini dibina hasil daripada permohonan belia di kampung ini.

“Namun pada masa ini, aktiviti sukan tidak digalakkan dan terdapat juga aktiviti sukan yang tidak dibenarkan semasa pandemik ini.

“Apabila kelonggaran diberi nanti dan aktiviti sukan dibenarkan maka kita menggalakkan anak anak muda kita di kampung meneruskan aktiviti bersukan dan riadah untuk manfaat diri masing-masing,” katanya.

Beliau berharap dengan gelanggang yang banyak dibina, Sarawak akan dapat melahirkan pemain-pemain futsal yang berkaliber bukan sahaja mewakili kawasan malah mewakili peringkat yang lebih tinggi.

Jelas beliau, bagi kawasan Dun Pantai Damai setakat ini, sebanyak 13 gelanggang yang telah dibina dalam projek RTP sejak 2017.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak