Lega empat pasar awam dibuka semula!

KUCHING: Empat pasar di bawah Majlis Perbandaran Padawan (MPP) kini beroperasi semula selepas ditutup selama seminggu sebagai langkah berjaga-jaga susulan peningkatan wabak Covid-19.

Pembukaan semula pasar basah Batu 3, Batu 7, Batu 10, pusat penjaja Desa Wira berkuat kuasa malam semalam berdasarkan arahan dikeluarkan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching.

Pengerusi MPP Lo Khere Chiang memberitahu, pasar Cat Walk Street yang turut ditutup pada tarikh sama bagaimanapun masih diarahkan untuk ditutup dan akan dibuka pada tarikh diberitahu kelak.

Katanya, ia berikutan pihak operator dan pengurusan pasar tersebut masih dikuarantin sehingga 15 September ini. Jelasnya, kelima-lima peniaga dan penjaja pasar tersebut bekerjasama dengan baik dalam mempertimbangkan keputusan penutupan sementara pasar basah demi keselamatan diri, keluarga dan pelanggan.

“MPP menguruskan pengumpulan maklumat mengenai hasil ujian calitan setiap penjaja selain turut melakukan pembersihan dan pembasmian kuman di seluruh kawasan pasar basah di bawah MPP. “Setelah itu merujuk kepada Pejabat Kesihatan Kuching untuk membuka kembali aktiviti perniagaan dan perdagangan di kelima-lima kawasan pasar tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di Pasar Basah Batu 3 pada Jumaat.

Lo menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching atas pertimbangan mereka terhadap rayuan dewan agar penjaja yang diuji negatif Covid-19 untuk memulakan perniagaan.

Pada masa sama Adun Batu Kitang menasihati orang ramai agar berhati-hati ketika keluar membeli barang keperluan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak