Leka berhibur, 16 di Bintulu kena kompaun

BINTULU: Seramai 16 individu yang leka berhibur termasuk seorang pemilik premis dikompaun atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, premis hiburan di Bintulu Sentral, Jalan Tanjung Kidurong itu diserbu oleh Jabatan Siasatan Jenayah IPD Bintulu ketika membuat pemantauan rutin SOP Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurutnya, semasa menjalankan rondaan di kawasan tersebut sekitar 12.05 tengah malam, pasukan diketuai Inspektor Nixon Malang telah mendengar bunyi bising dari sebuah pusat hiburan.

“Ketika pasukan menghampiri premis tersebut dan mendapati pintu hadapan dalam keadaan berkunci, manakala pintulu belakang tidak.

“Pasukan kemudiannya menyerbu masuk dan hasil pemeriksaan mendapati seramai 13 lelaki dan tiga wanita tempatan berumur antara 18 hingga 36 tahun sedang leka berhibur tanpa menjaga penjarakan fizikal.

“Kesemua mereka dikenakan kompaun di bawah Peraturan 17(1) Peraturan Pengawalan Dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan Jangkitan) (PPN) 2021,” katanya.

Kata Zulkipli lagi, hasil semakan juga mendapati pemiliknya gagal mengemukakan lesen perniagaan dan akan disiasat di bawah Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2000/Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana disyaki beroperasi tanpa lesen, ingkar SOP PKP dan perbuatan cuai.

Turut dirampas tiga unit televisyen, satu unit komputer riba, pelbagai jenis peralatan bunyi, resit jualan dan wang tunai berjumlah RM3,543.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak