Lelaki Indonesia dipenjara enam bulan akibat dadah

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan mengambil dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine, Mac lalu.

Tertuduh yang hanya dikenali sebagai Danu, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca oleh seorang jurubahasa di hadapan Hakim Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh ditangkap dan diusir pulang ke negara asal selepas tamat hukuman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah Jeti Pendaratan Ikan, Jalan Sungai Padungan sekitar 10.06 pagi pada 26 Mac lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Dalam kes berkaitan, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM2,500 atau penjara lima bulan atas kesalahan mengambil dadah jenis Methamphetamine, Methamphetamine dan Methylenedioxymenthamphetamine (MDMA), Mei lalu.

Hakim Majistret Zaiton Annuar menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh Harpreet Singh Khaira,36, selepas mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dibaca di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia memberi kepada diri sendiri dadah di Ibu Pejabat Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik cawangan Sarawak, sekitar jam 12.45 malam, 28 Mei lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Sekyen Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 15 (1) Akta yang sama jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Hisyam Junaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak