Lelaki maut kereta bertembung lori

BAU: Seorang lelaki maut selepas kereta jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya bertembung dengan sebuah lori di KM 6.5, Jalan Bau-Kuching, di sini, pagi tadi.

Mangsa, 21, bekerja sebagai pembekal makanan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supritendan Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan dilaporkan berlaku sekitar jam 9.30 pagi ketika mangsa sedang memandu dari arah Kuching menuju ke Bau.

“Setiba di tempat kejadian, tiba-tiba mangsa telah termasuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

“Impak kemalangan mengakibatkan kereta mangsa terbabas ke parit di sebelah kiri jalan manakala lori berkenaan terbabas ke tengah jalan kerana tayar kanan pecah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Alexson berkata pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya ketika kejadian, keadaan jalan adalah basah disebabkan oleh hujan.

Alexson berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak