Liga Premier 2021: KC FC tewas ditangan Kelantan United FC

KUCHING: Skuad Kuching City FC (KC FC) menutup tirai kempen Liga Premier 2021 dengan kekecewaan apabila tewas (3-1) menentang Kelantan United FC di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor petang tadi.

Meskipun berjaya merapatkan jurang menerusi gol jaringan Michael Chukwubunna Ijezie pada minit ke-28, selepas pasukan pelawat yang terdahulu menjaringkan dua gol menerusi Shafizi Iqmal Md Khairudin minit ke-20 dan Alfusainey Gassama minit ke-22.

Usaha The City Boys untuk cuba bangkit terus tersekat apabila wakil dari pantai timur itu menambah satu lagi gol menerusi ketua pasukan Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zamani minit ke-45 (+2).

“Kita gagal untuk memperolehi sabarang mata pada perlawanan petang tadi.

“Pemain bagaikan hilang punca dibabak pertama apabila pasukan pelawat berjaya mendapatkan tiga gol,” ujar Pengurus KC FC, Ideris Untong kepada Arena Suara Sarawak.

Menurutnya, pemainnya diberi tentangan sengit oleh pasukan lawan yang berhajat benar memenangi perlawanan tersebut untuk melayakkan diri ke pentas saingan Piala Malaysia 2021.

“Apa pun, secara keseluruhannya saya kagum dengan semangat juang dipamer pemain terutama pada babak kedua,” tambah Ideris.

Menurut Ideris, mereka kini fokus kepada kempen Piala Malaysia 2021 dan perlawanan sulung menentang Terengganu FC digelanggang lawan Ahad nanti.

KC FC untuk kempen Piala Malaysia 2021 berada dalam Kumpulan B bersama Terengganu FC, Selangor FC dan Perak FC.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak