Liga Premier 2021: KC FC tidak panik, kata Ideris

KUCHING: Pengurus Kuching City FC (KC FC) Ideris Untong memberitahu, mereka tidak panik disebalik kekalahan (2-0) ketika menentang Terengganu FC II, petang semalam.

Menurut Ideris, beliau yakin peluang masih terbuka untuk pasukannya mengintai slot ke saingan Piala Malaysia 2021 dengan mengambil kira mereka kini memerlukan tiga mata sahaja lagi.

Apatah lagi katanya, ketika ini KC FC masih mempunyai baki dua perlawanan.

Bertemu Perak FC II pada 21 September ini sebelum menutup tirai saingan Liga Premier 2021 menentang Kelantan United FC pada 24 September.

“Kita masih berpeluang untuk bersaing di pentas piala berprestij itu.

“Apa yang penting memenangi salah satu perlawanan tersebut, memadai bagi KC FC layak,” ujar Ideris kepada Arena Suara Sarawak.

Ideris percaya pengemudi pasukan, Irfan Bakti Abu Salim akan memperkemaskan jenteranya untuk menghadapi dua perlawanan itu.

“Selain cuba merangka strategi terbaik bagi memastikan tidak terus tercicir sebarang mata lagi selepas ini.

“Walaupun kita tahu, baki pelawanan tersebut tarikhnya agak rapat. Ia tidak begitu memberi impak kerana saya percaya semangat pemain nyata masih membara,” tambah Ideris lagi.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak