LIGA PREMIER 2021: SU FC masih berpeluang juara

KUCHING: Presiden Sarawak United FC (SU FC), Datuk Posa Majais optimis peluang pasukannya menjulang mahkota juara Liga Premier 2021 masih ada.

Beliau berkata meskipun secara matematik misi kearah itu amat tipis memandangkan kelebihan kini seakan memihak kepada pesaing terdekat Negeri Sembilan FC yang masih gah menerajui tangga teratas dengan kelebihan satu mata.

Selain aksi terakhir skuad Hoben Jang Hoben itu menentang PDRM FC dilaman sendiri pada 21 September ini, ia bukan jaminan awal untuk menidak keupayaan pemain skuad SU FC melakukan kejutan.

“Dalam bola sepak segala kemungkinan boleh berlaku.

“Jika kami (SU FC) berjaya meraih kemenang ke atas Johor Darul Ta’zim II selain Negeri Sembilan FC tumpas kepada PDRM FC, maka gelaran juara akan menjadi milik SU FC,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Posa, pemain tidak akan mengangkat bendera putih terlalu awal sebelum berakhirnya 90 minit perlawanan menentang JDT II itu nanti.

“Masih ada tempoh 90 minit menentukan siapa berhak dinobat selaku juara, sama ada SU FC mahupun Negeri Sembilan FC.

“Apa yang pasti pemain akan berjuang hingga ke wisel penamat,” tambahnya.

SU FC kini berada di kedudukan kedua dengan 37 mata, dibezakan dengan satu mata oleh pasukan Negeri Sembilan FC di tangga teratas dengan 38 mata.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak