LIGA PREMIER 2021:  SU FC naib juara

KUCHING: Skuad Sarawak United FC (SU FC) akhirnya akur bergelar naib juara saingan Liga Premier 2021.

Ia berikutan keputusan seri (1-1) dicatat pada aksi terakhir menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus Larkin, Johor malam tadi.

The Golden Hornbill yang dalam usaha perebutan gelaran juara bersama pesaing terdekat, Negeri Sembilan FC terdahulu mengejutkan tuan rumah menerusi gol awal dijaringkan Uche Agba minit ke-4.

Namun JDT II bangkit mengikat kedudukan menerusi gol penyamaan dijaringkan Stuart John Wilkin minit ke-84.

Ia sekaligus menutup terus ruang buat anak-anak buah E.Elavarasan untuk mencipta kejutan musim ini.

Ditambah lagi kemenangan selesa (4-2) dicatat Negeri Sembilan FC ke atas PDRM FC di laman sendiri.

“Fokus kita adalah untuk mencari tiga mata penting pada perlawanan malam tadi.

“Memang segalanya berjalan lancar apabila berjaya mendahului tuan rumah namun kita gagal mempertahankan kelebihan gol awal yang diperolehi sehingga kesudahannya berkongsi satu mata,” ujar Elavarasan pada sidang media sebaik berakhir perlawanan.

Menurut Elavarasan, meskipun hasrat pasukannya meraih tiga mata penuh pada perlawanan tersebut tidak kesampaian namun beliau kagum dengan semangat juang dipamer anak-anak buahnya sepanjang perlawanan.

“Pemain telah memberi komitmen begitu tinggi pada perlawanan malam kelmarin,” katanya.

Suara Sarawak