Lima kompaun dikeluarkan terhadap kenderaan bernjin diesel kerana melepaskan asap hitam

SERIAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluarkan lima kompaun terhadap kenderaan berenjin diesel yang melepaskan asap hitam melebihi had yang ditetapkan sepanjang Operasi Pemeriksaan Bersepadu Kenderaan Bermotor (Op Gerak).

Op Gerak yang dilaksanakan selama lima hari bermula Isnin hingga hari ini melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Pengarah JAS, Hamzah Mohamad berkata, sepanjang operasi, JAS telah menguji sebanyak 1,378 buah kenderaan di lima lokasi iaitu di Jalan Kuching-Serian Bypass, Lebuh Raya Kuching-Samarahan, Batu 16 Jalan Kuching-Serian, Jalan Keruing, Taman Industri Demak Laut dan Stesen Timbang JPJ Jalan Kuching-Serian.

Selain itu, katanya, JAS turut mengeluarkan empat notis arahan terhadap kenderaan berenjin diesel untuk ujian pemeriksaan semula.

“Dalam pada itu, tiada kenderaan dikeluarkan perintah larangan oleh JAS sepanjang pemeriksaan diadakan.

“Ini menunjukkan bahawa kenderaan yang diperiksa sepanjang operasi dijalankan kebanyakan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan,” katanya pada sidang media di Stesen Timbang JPJ Jalan Kuching-Serian, di sini hari ini.

Suara Sarawak