Mahkamah Tinggi Kuching perintah Kerajaan di bawah Ismail Sabri laksanaan pindaan Undi18 pada 31 Disember depan

KUCHING: Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan pindaan Undi18 pada 31 Disember depan.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew membenarkan permohonan yang difailkan oleh lima pemuda Sarawak untuk mencabar keputusan kerajaan terdahulu dibawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak melaksanakan pindaan Undi18 pada Julai lalu.

“Mahkamah juga memerintahkan Kerajaan Persekutuan untuk membatalkan keputusan bahawa pelaksanaan pindaan Undi18 hanya boleh dilaksanakan pada September 2022.

“Selain itu, di bawah Seksyen 3 (a) Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan sebahagian daripada pindaan perlembagaan bagi menurunkan had umur mengundi di Malaysia daripada 21 hingga 18 tahun hendaklah dilaksanakan secepat mungkin,” katanya semasa prosiding melalui aplikasi Zoom hari ini.

Sebelum ini, lima orang belia berusia 19 hingga 20 tahun yang diwakili Peguam Simon Siah telah menfailkan tuntutan pada Mei lalu, supaya Kerajaan Persekutuan tidak membatalkan pelaksanaan pindaan Undi18 pada bulan Julai lepas.

Mereka mendakwa keputusan menangguhkan pelaksanaan adalah tidak munasabah kerana ia menafikan hak belia menjadi pengundi.

Setakat ini, hanya rakyat berumur 21 tahun ke atas sahaja boleh mendaftar sebagai pengundi.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak