Masing optimis sembuh daripada jangkitan Covid-19 setelah lengkap dua dos vaksin

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing sentiasa optimis untuk sembuh daripada jangkitan Covid-19 kerana lengkap dua dos vaksin berkenaan.

Melalui hantaran di Facebook malam tadi, James Masing memaklumkan yang beliau berada kategori ketiga jangkitan Covid-19.

“Saya mengalami simptom batuk, kehilangan selera makan dan paru-paru berair (Kategori 3) tetapi saya dapat mengatasi.

“Ketika saya berbaring di katil hospital ICU di HUS, Kuching, ketika itu saya berusaha untuk pulih daripada serangan Covid-19,” katanya.

Tambah James Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) setelah lengkap dua dos vaksin, beliau optimis akan selamat daripada serangan Covid-19.

“Saya hanya berharap tiada keparahan yang dialami untuk terus sembuh. Hanya masa akan menentukan.

“Sekiranya saya bebas daripada jangkitan Covid-19, vaksin adalah alat yang melawannya,” tegasnya.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan vaksin segera.

Pada 31 Mei lalu, James Masing kehilangan adik lelakinya, Jantai Masing, 68 akibat jangkitan Covid-19.

Suara Sarawak