Operasi SAR Sulau Bilong diteruskan

SARIKEI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke kebun di seberang rumah panjangnya di Nanga Lasi Julau diteruskan hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin berkata, operasi bermula sejak jam 9 pagi tadi meliputi kawasan seluas satu hingga dua kilometer dari jeti kebun mangsa.

“Bagaimanapun operasi bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.

Mangsa Sulau Bilong, 78 dilaporkan hilang oleh anaknya kira-kira jam 11 malam semalam.

Susulan itu, Nicholas berkata sepasukan anggota dari BBP Bintangor digerakkan ke rumah panjang itu sebelum melancarkan operasi SAR.

Menurutnya, berdasarkan laporan anak mangsa, bapanya keluar ke kebun pada jam 4.15 petang Isnin lalu namun tidak balik ke rumah selepas itu.

Bimbang dengan keselamatan bapanya, anak mangsa kemudiannya bertindak menghubungi Bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Dalam operasi SAR pada hari pertama, kita hanya menjumpai perahu kosong yang dipercayai digunakan mangsa ke kebun.

“Perahu itu ditemui pada jarak kira-kira 50 meter dari jeti rumah panjang mangsa,” katanya.

Suara Sarawak