Para Sukma Johor: Sarawak mahu kembali fokus, misi juara kali ke-14

KUCHING: Kontinjen Para Sukma Sarawak berharap sesi latihan penuh dapat dijalankan semula pada Oktober nanti dalam misi untuk bergelar juara kali ke-14.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, persiapan pasukan yang terlibat dapat dilaksanakan semula sekiranya situasi penularan pandemik Covid-19 di negara ini kembali reda.

“Semua pasukan berharap latihan penuh akan dapat dijalankan semula pada bulan Oktober nanti,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Menyambut Kepulangan Wira-Wira Kenyalang, Atlet Paralimpik Tokyo 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) semalam.

Menurut Fatimah, pihaknya menyasarkan untuk beroleh sekurang-kurangnya 68 pingat emas pada kejohanan di Johor itu kelak untuk kekal bergelar juara.

“Pencapaian dan kegemilangan yang dimiliki kontinjen Para Sukma Sarawak sejak sekian lama harus diteruskan.

“Justeru semua pasukan terlibat harus bersedia dengan cekap, lengkap dan mantap untuk merealisasikan impian tersebut,” tegas beliau.

Sebanyak 10 jenis sukan antaranya renang, olahraga, tenpin boling, badminton, powerlifting, ping pong, boling padang, boccia, catur dan memanah akan disertai kontinjen Para Sukma Sarawak.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak