Pati gagal bawa anak lolos sempadan

LUNDU: Empat lelaki, tiga wanita bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditahan ketika cuba menyelinap masuk ke sini melalui lorong tikus di kawasan Biawak, di sini kira-kira 300 meter dari sempadan Malaysia – Indonesia.

Kesemua warganegara Indonesia itu ditahan kira-kira jam 7.30 pagi tadi, oleh sepasukan anggota Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) yang sedang melaksanakan serang hendap di kawasan berkenaan.

“Kesemua lapan pendatang asing tanpa izin (Pati) terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” kata Sel Perhubungan Raya Maskas 1 Divisyen dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu menambah, hasil soal siasat juga mendapati tujuan mereka memasuki Malaysia kerana ingin mencari pekerjaan.

Katanya kesemua Pati terbabit kemudian diusir keluar dari sempadan Malaysia dan laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya.

Justeru, kenyataan itu menegaskan tentera darat khususnya di Sarawak amat komited menggalas tanggungjawab meneruskan inisiatif Op Benteng dalam mengekang aktiviti Pati menyelinap masuk ke Sarawak serta kegiatan jenayah rentas sempadan pada setiap masa.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak