Pekan kecil di Sarawak perlu dilengkap kemudahan perbankan mudahkan bantuan disalurkan

KUCHING: Pekan kecil di Sarawak perlu dilengkapi dengan kemudahan perbankan agar bantuan yang disalurkan oleh pihak kerajaan dapat ditunaikan oleh penduduk, kata Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat.

Menurutnya, ketika negara dilanda oleh pandemik Covid-19, pelbagai bantuan khas disalurkan oleh kerajaan kepada rakyat terutamanya yang golongan B40.

“Ramai rakyat dari kumpulan B40 tinggal di luar bandar.

“Maka, pekan-pekan kecil luar bandar tidak mempunyai kemudahan perbankan yang baik dan kalau ada pun hanya cawangan bank Bank Simpanan Nasional (BSN),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjunjung titah seri paduka baginda Yang Di-Petuan Agong sempena Mesyurat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di ibu negara hari ini.

Tambah Robert, banyak suara marah kedengaran dan aduan diterima dari rakyat tentang masalah untuk mengeluarkan wang bantuan mereka.

“Di samping itu ramai penerima bantuan yang tidak ada akaun bank.

“Ini menyulitkan lagi keadaan kerana pengagihan bantuan dibuat menggunakan baucer dan hanya dapat ditunaikan di Cawangan BSN apabila menyaksikan penerima dari luar bandar sanggup datang awal dan berbaris panjang sehingga berjam-jam hanya untuk mendapatkan perkhidmatan bank di cawangan BSN,” jelasnya.

Tegasnya, keadaan ini telah menimbulkan masalah dan amat terkesan dari segi kos dan masa kepada penerima B40 luar bandar.

“Bagi mengatasi masalah ini, saya mohon agar kerajaan menyediakan lebih banyak kemudahan bank bergerak di luar bandar dan membuka lebih banyak cawangan BSN di pekan-pekan kecil di luar bandar.

“Malah, BSN perlu naik taraf sistem perbankan dan menambah kaunter sedia ada dan meminta agensi pelaksana bantuan kepada rakyat untuk memastikan penerima bantuan ada akaun bank,” ujarnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak