Peluang rehat untuk pemain KC FC

KUCHING: Penundaan perlawanan antara Kuching City FC (KC FC) dan Kelantan United FC seperti diumumkan semalam memberi peluang kepada pemain untuk berehat.

Malah, kesempatan pemain yang cedera untuk pulih sepenuhnya.

Pengurus Pasukan KC FC, Ideris Untong memberitahu, pemain antara yang paling lega kerana meraka ada masa rehat selain dapat pulih dari kecederaan.

“Sekurang-kurangnya ada masa rehat yang lebih untuk pemain.

“Malah, dapat memulihkan kecederaan yang dialami para pemain,” ujar Ideris kepada Arena Suara Sarawak.

Pun begitu tegas Ideris, fokus mereka kini kekal dengan sesi latihan seterusnya sebagai persiapan menghadapi perlawanan menentang skuad Projek FAM-MSN pada 14 September ini.

“Ada tempoh beberapa hari sahaja lagi kami (KC FC) akan turun menentang skuad Projek FAM-MSN.

“Saya percaya tempoh masa yang ada akan digunakan pengemudi (Irfan Bakti Abu Salim) untuk memperkemaskan jentera,” tambah Ideris lagi.

Skuad KC FC kini menghuni tangga kelapan menggumpul 21 mata selepas mengharungi 16 perlawanan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak