Pendapatan dari belakang rumah

MELIHAT kejayaan beberapa rakan yang sudah lama terlibat dalam perusahaan madu kelulut, ia menarik minat Bojeng Ajid, 64, mengambil langkah sama untuk terlibat dalam penternakan lebah kelulut.

“Selepas melihat perjalanan perniagaan ternakan lebah kelulut milik sahabat, saya terus berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam walaupun pada awalnya saya kurang pengetahuan mengenai penjagaan lebah kelulut ini.

“Perkara itu mendorong saya untuk mempelajari tentang penternakan lebah kelulut.

Pada masa yang sama, saya juga terfikir untuk membuka perniagaan sendiri di kampung,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menjelas lanjut Bojeng berkata, dia memulakan perniagaannya pada 2015 menggunakan nama Madu Kelulut Asli di Kampung Empila, Kota Samarahan.

Ladang ternakan di belakang rumah memudahkannya untuk menyedut madu kelulut.

“Biasanya proses penyedutan madu kelulut ini akan dilakukan oleh saya sendiri dan dibantu anak perempuan saya kerana tiada pembantu atau pekerja diambil.

“Proses pengambilan madu kelulut bergantung kepada keadaan cuaca.

Agak sukar untuk menyedut madu jika diambil pada waktu yang kurang sesuai seperti pada musim hujan.

“Jika cuaca panas dan tidak berangin, ia sangat sesuai untuk menyedut madu sekitar tiga hingga empat kali dalam seminggu dengan jumlah sebanyak dua hingga tiga kilogram.

“Cara pengambilan pula adalah dengan menyedut madu kelulut yang sudah matang dari rongga sarang menggunakan pam khas untuk menyedut madu,” katanya.

Lebah kelulut yang diternak jelasnya, adalah jenis lebah tanpa sengatan atau lebih dikenali sebagai Stingless Bee.

Madu yang dihasilkan lebah ini jelasnya lagi, antara yang popular di Malaysia kerana lazat dengan rasanya masam dan manis.

“Banyak khasiat madu kelulut ini dan semua lapisan umur boleh mengamalkannya untuk menjaga kesihatan dalaman.

“Pada pendapat saya, ia kaya dengan sumber antioksidan iaitu asid fenolik yang tidak terdapat pada madu lebah biasa, antiradang, mampu mengelak penyakit seperti serangan jantung, kanser dan diabetes, tiada kandungan mutasi serta turut memiliki ciri-ciri antibiotik yang sangat sesuai diamalkan.

“Malah, madu kelulut juga membantu kesihatan diri secara keseluruhan kerana mengandungi pelbagai jenis vitamin dan asid amino yang sangat bermanfaat untuk badan manusia terutama bagi proses pencernaan,” jelasnya lagi.

Selain itu dia memberitahu, bukan mudah menjaga kualiti sarang lebah tersebut.

“Setakat ini, saya mempunyai 80 koloni atau tangkai kayu tempat lebah kelulut bersarang.

Satu koloni, minimum boleh muat 200 lebah.

“Oleh itu, saya sentiasa memantau setiap koloni lebah agar tidak diceroboh serangga lain seperti semut, anai-anai, cicak, malah ancaman binatang buas lain,” katanya.

Jelasnya, persekitaran koloni lebah juga penting kerana ia membantu dalam penghasilan madu kelulut berkualiti seperti di kawasan yang mempunyai banyak pokok buah-buahan dan bunga-bungaan.

Menurut bapa kepada empat anak ini, madu kelulutnya sering dijual dan dipromosikan melalui media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.

“Buat masa ini, belum ada perancangan untuk membuka kedai atau cawangan lain. Kami hanya mempromosikan madu kelulut ini secara dalam talian. Pelanggan boleh membuat pesanan melalui WhatsApp,” katanya lagi.

Walaupun hanya berniaga dari rumah, Ketua Kampung Empila ini mempunyai banyak pelanggan dengan anggaran 15 hingga 20 orang sebulan.

“Alhamdulillah, ramai yang masih membeli madu kelulut asli daripada saya,” tambahnya.

Jelasnya lagi, hasil jualan dianggarkan sekitar RM850 hingga RM1,000 sebulan.

Bojeng berharap dapat menarik lebih banyak pelanggan pelbagai peringkat usia serta bangsa untuk mencuba dan membeli madu kelulut daripadanya.

“Saya jamin madu kelulut ini mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan dalaman kita,” jelasnya.

Bagi pelanggan yang ingin membuat tempahan Madu Kelulut Asli daripada Bojeng, layari Facebook Bojeng Ajid atau melalui Whatsapp di 014- 9964719.

Pembelian madu kelulut ini juga sangat sedap dan berpatutan dengan harganya RM50 untuk 500 gram.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak