Penerima bantuan Yayasan Sarawak terdiri daripada pelbagai kaum

BINTULU: Tiada individu atau kaum  yang terpinggir daripada terima bantuan sama ada pakaian seragam sekolah atau biasiswa tajaan Yayasan Sarawak.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata,  Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi Yayasan Sarawak bersedia meneruskan program bantuan ini.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Abang Johari yang menyatakan program dan bantuan biasiswa akan diteruskan,” katanya selepas menyempurnakan simbolik penyerahan bantuan baucer Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak bagi DUN Jepak di Pejabat Daerah Bintulu, hari ini.

Malah, katanya, sejak menerajui  Yayasan Sarawak, Abang Johari turut mengubah perjanjian dan menambah dana Yayasan Sarawak.

Seramai 499 pelajar daripada 13 buah sekolah dalam DUN Jepak menerima Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak dengan kos keseluruhan berjumlah RM99,800.

Mereka  terdiri daripada  361 penerima e-kasih, 17 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), Penan (sembilan), pelajar Tingkatan Satu(71) dan 44 murid Tahun Satu.

Hadir sama Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid, wakil Residen Bahagian Bintulu Harun Hatta, wakil Pejabat Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Stanley Oliver Tinggie dan Pegawai Pegawai Pendidikan Daerah Tatau dan Sebauh Samri Suhaili.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak