Pengurangan SOP di peringkat Persekutuan elak kekeliruan

KUCHING: Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan yang kini di peringkat akhir untuk mengurangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) daripada 181 SOP kepada 10 SOP sahaja.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) itu berkata, usaha mengurangkan SOP kepada yang utama dan mudah dibaca adalah sangat baik kerana SOP sedia ada telah banyak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat umum.

“Tidak menafikan, kadang-kadang kita keliru akan SOP baharu yang dikeluarkan dan juga keliru mengenai SOP yang lama dan ada berulang.

“Justeru, cadangan ini sangat baik supaya kita dapat meringkaskan SOP sedia ada kepada yang utama dan mudah difahami oleh masyarakat,” katanya kepada media selepas merasmikan projek Penyerahan Projek Transformasi Luar Bandar (gelanggang futsal) di Kampung Pasir Panjang, hari ini.

Tambah Abdul Rahman yang juga Adun Pantai Damai, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) juga sedang memperhalusi semula garis panduan SOP untuk negeri ini.

“Diperingkat negeri, saya telah mendapat maklum daripada Pengerusi JPBN Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkenaan garis panduan SOP akan dinilai semula dan diringkaskan dan banyak perubahan-perubahan baharu nanti akan dikeluarkan dalam tempoh minggu hadapan.

“Usaha ini juga akan memberi kelonggaran kepada sektor ekonomi, sektor sosial, sektor keagamaan dan sebagainya.

“Saya percaya cadangan ini pastinya akan memberi kelegaan kepada masyarakat menjelang menghadapi perubahan fasa pandemik kepada fasa endemik,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan kerajaan kini berada di peringkat akhir bagi proses mengurangkan jumlah SOP PPN dan ia dijangka mengambil masa dua hingga tiga minggu.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak