Perlawanan pertama Piala Malaysia, SU FC turun tanpa tiga tonggak utama

KUCHING: Penolong Jurulatih Sarawak United FC (SU FC) Safri Amit berharap para pemainnya dapat memperoleh sebarang mata menjelang pertemuan dengan Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, malam esok.

Sekalipun beliau sedar misi itu sukar memandangkan pasukan lawan yang berprestasi kemuncak ketika ini, apatah lagi perlawanan pertama peringkat kumpulan kempen Piala Malaysia itu berlangsung digelanggang tuan rumah.

“Kita turun tanpa tiga tonggak utama iaitu Sharbinee Allawee, Mohammad Amer Saidin dan Mohd. Badrul Affendy kerana masih digantung perlawanan.

“Walaupun seperti tempang, saya percaya pengemudi pasukan E.Elavarasan sudah menyediakan barisan kesebelasan terbaiknya,” ujar Safri kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Safri, pemain lain bebas daripada belenggu kecederaan dan pemain simpanan yang bakal diturunkan juga mampu melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.

Safri akui mereka tidak mengetahui corak permainan pasukan tuan rumah namun berharap para pemain sentiasa berwaspada dan bijak memanfaat peluang terhidang.

Untuk kempen Piala Malaysia 2021, SU FC berada dalam Kumpulan A bersama-sama dua lagi pasukan iaitu Kuala Lumpur City FC dan Sri Pahang FC.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak