Perniagaan mesra alam, promosi amalan hijau

KUCHING: Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd menjuarai Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri (CMEA) Ke-9 2019/2020 di bawah kategori Perusahaan Besar (Perkhidmatan).

CMEA ke-9 merupakan anjuran bersama dengan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dan Sarawak Business Federation (SBF).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trienekens, mereka amat berbangga kerana dapat menerima anugerah berprestij itu.

“Pencapaian ketara ini menunjukkan komitmen yang kuat syarikat dan dedikasi berterusan untuk menjadikan Sarawak bersih dan sihat bagi rakyat di negeri ini.

“Anugerah ini adalah cerminan kepada kerjasama di antara Trienekens dan pemegang taruh termasuk pelbagai agensi kerajaan, pelanggan serta rakan perniagaan di atas sokongan dan dorongan yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Beliau menambah, dalam keadaan dunia kini, perniagaan mempunyai kewajiban etika dan moral yang semakin meningkat untuk melindungi alam sekitar.

“Trieneken sentiasa bekerja ke arah objektif untuk memastikan operasi perniagaan mesra alam, mempromosi amalan hijau kepada ahli kumpulan dan menggalakkan rakan perniagaan termasuk kontraktor, pembekal serta pelanggan melakukan perkara yang sama,” jelasnya.

Dengan anugerah tersebut, Trieneken lebih berusaha untuk berkerjasama dengan agensi berkaitan serta masyarakat untuk menyampaikan standard perkhidmatan pengurusan pembuangan yang lebih baik serta tinggi, menuju ke arah masa depan Sarawak yang hijau dan bersih.

Anugerah dwitahunan yang pertama kali diadakan pada 2001 itu diiktiraf sebagai anugerah alam sekitar utama untuk perusahaan kecil, sederhana dan besar serta pihak berkuasa tempatan di negeri ini.

CMEA 2019/2020 bertemakan ‘Enhancing Environmental Stewardship’ menjadi kesinambungan kepada tema tahun anugerah sebelum ini iaitu ‘Nurturing Environmental Stewardship’.

Ketika majlis penganugerahan berlangsung di Hotel Imperial Isnin lalu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyampaikan anugerah tersebug kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trienekens, Elvin Wee yang mewakili Trienekens (Sarawak) Sdn. Bhd.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak