PIALA BELIA 2021: Nasib berbeza dialami pemain

KUCHING: Sesi latihan pemain muda dari skuad Perbadanan Sukan Sarawak (SSC)/Kuching City FC (KC FC III) Bawah 19 Tahun/Piala Belia 2021 di bawah tanggungan Kuching City FC (KC FC) akan dihentikan, susulan kontrak mereka tamat pada hujung bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC (KC FC), Iswandi Ali Hassan berkata keputusan itu dibuat ekoran pembatalan saingan Liga Piala Belia 2021 dan Piala Presiden 2021 seperti diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.

“Bagi pemain di bawah tanggungan kami (KC FC),  kontrak mereka akan berakhir hujung bulan ini.

“Berbanding pemain yang kontrak mereka ditanggung oleh SSC, latihan masih diteruskan seperti biasa,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Bagaimanapun, beliau berkata bagi pemain skuad KC FC II/Piala Presiden 2021, ia sedikit berbeza kerana kelibat mereka masih dalam pemerhatian.

“Ketika ini ada beberapa pemain terbabit (KC FC II) yang diserap ke dalam skuad senior untuk membantu menambah kekuatan dalam mengharungi baki perlawanan kempen Liga Premier 2021.

“Maka mereka masih menyertai latihan dan kedudukan mereka hanya akan dapat diketahui apabila saingan musim ini berakhir,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak