PPE ancaman besar terhadap persekitaran

KUCHING: Masyarakat diingatkan agar tidak membuang peralatan perlindung diri (PPE) yang sudah dipakai secara sembarangan kerana ia akan menjadi ancaman besar terhadap persekitaran.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata dengan populasi seramai 2.91 juta penduduk, Sarawak dijangka mengeluarkan sebanyak 628,000 pelitup muka yang sudah dipakai dan ia membahayakan persekitaran jika tidak dibuang secara berhemah.

“Sekiranya PPE ini tidak dibuang dengan betul, ia akan memberi kesan yang besar terhadap persekitaran.

“Angin atau air hujan boleh membawa PPE yang sudah dipakai ini ke dalam sungai dan ia akan mencemarkan sungai-sungai dengan virus mematikan yang mungkin dapat menjangkiti kita semula.

“Oleh itu, saya menggesa orang ramai agar berhati-hati dengan gelombang ketiga Covid-19 dan diingatkan akan bahaya pelupusan PPE secara sembarangan,” katanya ketika berucap sempena Anugerah Persekitaran Ketua Menteri (CMEA) Ke-9 di Hotel Imperial, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak