Projek RTP: Abang Jo mahu rakyat nikmati hidup lebih baik

SARIKEI: Projek pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) merupakan inisiatif penting bagi melengkapkan kawasan luar bandar dengan pelbagai infrastruktur yang diperlukan oleh rakyat.

Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, projek RTP banyak membantu menyelesaikan isu berkaitan pembangunan infrastruktur asas meskipun ada yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Menurutnya, pelaksanaan projek RTP jelas menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam membawa pembangunan secara menyeluruh. “Usaha menaik taraf kemudahan infrastruktur asas, utiliti dan kemudahan sosial itu membolehkan masyarakat luar bandar menikmati taraf hidup yang lebih baik,” katanya pada Program Ziarah Unit Komunikasi Awam Sarawak di Pusat Khidmat Dun Repok, pada Ahad.

Menurut Tiong Sii setakat ini, Kerajaan Sarawak meluluskan sebanyak 42 projek RTP di kawasan Repok termasuk naik taraf prasarana sukan, rumah ibadat dan sekolah. Semua projek terbabit katanya, kini sedang rancak dilaksanakan meskipun ada antaranya sedikit terlewat akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan penularan pandemik Covid-19.

Malah ujarnya, kerjasama baik semua pihak termasuk pemimpin masyarakat membolehkan projek terbabit dilaksanakan dengan sempurna.

“Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat dan beliau sering menghulurkan bantuan peruntukan secara berterusan untuk membangun Sarikei.

“Projek berimpak tinggi seperti Jalan Pasi ke Tanjung Manis, Agro Park, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan, Pembungkusan dan Pemasaran (CPPC) pasti akan melonjak Sarikei ke arah kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di kawasan ini,” tambahnya.

Program Ziarah Ukas merupakan wadah terbaik untuk mendekati rakyat yang memerlukan serta menyalurkan maklumat terkini mengenai program dan aktiviti dilaksanakan kerajaan negeri.

Aktiviti juga bertujuan memperkenalkan kewujudan Ukas di Daerah Sarikei dan fungsi tugas di lapangan oleh Pegawai Ukas yang melaporkan setiap laporan mengikut fakta yang betul.

Pada masa sama, Tiong Sii berharap program seperti itu akan diteruskan dari semasa ke semasa kerana amat memberi manfaat. Dalam program itu, beliau juga menyalurkan sedikit bantuan Ukas bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak