Pusat perlindungan sementara bakal beroperasi

KUCHING: Pusat perlindungan sementara Sunshine Home bakal beroperasi apabila Sarawak memasuki fasa endemik dan orang ramai tidak lagi dihadkan kawalan pergerakan.

Pengerusi Persatuan Divine Will Society (DWS), Anthony Bong berkata, mereka tidak dapat untuk menentukan tarikh pembukaan pusat perlindungan ini sehingga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan, Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah memutuskan untuk dibuka berdasarkan situasi pandemik semasa.

“Bagi membuka tempat ini secara keseluruhannya, ia tidak menjadi masalah dan kami sudah bersedia.

“Namun disebabkan pandemik Covid-19, kita terpaksa menangguh untuk membukanya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kunjungan dan lawatan Fatimah ke Pusat Jagaan Sunshine Home Wellness, di sini pada Rabu.

DWS merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan yang menjadi tumpuan masyarakat dan secara rasmi ditubuhkan pada Jun 2015.

Manakala, Pusat Perlindungan Sementara Sunshine Home ini merupakan projek komuniti yang diterajui oleh DWS dan disokong oleh Lions Kuching Club Of Kuching Oriental.

Tambah beliau, perkhidmatan yang ditawarkan oleh DWS dan Lions Club of Kuching Oriental adalah pusat dialisis buah pinggang; tempat tinggal sementara untuk keluarga yang memerlukan; mangsa bencana alam dan keganasan rumah tangga; pusat jagaan harian untuk warga emas dan kumpulan Alzheimer dan pusat pembangunan belia.

Mengulas mengenai bank makanan, Anthony berkata, mereka menamakannya sebagai ‘World Cafe’ kerana kafe itu akan kelihatan menarik untuk golongan muda dalam menjadi sukarelawan.

“Jika golongan muda ini mempunyai masa lapang, sudah pasti mereka ini akan berasa teruja untuk melakukan sesuatu dengan komuniti di sini,” katanya.

Jelasnya, makanan ini juga disediakan untuk pesakit yang menderita dialisis dan juga warga emas dan juga orang-orang yang datang dari pusat penginapan sementara kerana mereka tidak digalakkan memasak.

“Hal ini kerana, aktiviti memasak boleh menjadi punca kebakaran dan ia juga sangat bahaya sekali gus mengurangkan pembuangan sampah sarap,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, dalam seminggu sekali, mereka mungkin akan meminta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama dalam memberikan makanan percuma kepada masyarakat terutama bagi mereka yang termasuk dalam kategori B40.

“Untuk memastikan golongan ini dalam kategori B40, kami akan bekerjasama dengan kerajaan untuk mencari maklumat dalam mengenal pasti mereka yang benar-benar terkesan di daerah ini,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak