Rekod tangkapan berkaitan dadah turun

KUCHING: Sarawak merekodkan 463 tangkapan berkaitan kesalahan dadah setakat Ogos 2021 iaitu penurunan sebanyak 28.98 peratus berbanding Julai.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia berbanding tangkapan pada Julai 2021 yang merekodkan sehingga 652 tangkapan.

“Sebanyak 57 daripada 463 tangkapan melibatkan pengedaran, 119 memiliki dadah dan substance manakala 287 lagi adalah individu yang disaring positif urin.

“Jumlah tersebut adalah penurunan sebanyak 28.98 peratus berbanding tangkapan dalam bulan Julai lalu (652 tangkapan),” tambahnya.

Menurutnya, sepanjang Ogos 2021, sebanyak 363 operasi penguatkuasaan dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Kastam dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Sarawak berkata, anggaran nilai berjumlah RM926,000 berjaya dirampas.

“Melalui operasi tersebut, sebanyak 11,597.07 gm (11.59 kg) dadah dan bahan terlarang berbentuk mampat dan 34,423 berbentuk pil dirampas oleh JSJN dan Jabatan Kastam dengan anggaran nilai berjumlah RM926 ribu,” jelasnya.

Katanya, impak rampasan dadah ini mampu menyekat sebanyak 133,181 kali penggunaan dadah dan bahan terlarang serta menyelamatkan 31,143 individu bagi tempoh sebulan di negeri ini.

“Hasil tangkapan dan rampasan tersebut, kita dapat menyekat penawaran serta pemintaan terhadap dadah dan substance di Sarawak

“Peningkatan rampasan dadah ini menunjukkan bahawa kita tidak rela dijadikan sebagai transit bagi pengedaran dadah ke negara-negara yang berjiran dengan kita,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekatan terhadap penawaran dan permintaan dadah dan bahan terlarang ialah dua strategi utama dalam rantaian Pelan Tindakan MIDS OSC Sarawak.

“Untuk memastikan mereka yang terjebak daripada terus menyalah guna dadah dan substance, rantaian MIDS kita memberi fokus kepada tindakan intervensi berbentuk rawatan dan pemulihan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Laporan Berkala OSC MIDS, hari ini.

Sebagai rekod, seramai 2,054 orang direkodkan menjalani rawatan dan pemulihan bagi tempoh Ogos 2021.

Justeru, bagi meningkatkan akses kepada rawatan penagihan dan pemulihan penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang di Sarawak tahun ini adalah dengan memberi penekanan kepada tindakan pencegahan.

“Ini boleh dilakukan melalui program kesedaran, advokasi dan saringan yang berbentuk bukti berasaskan di institusi pendidikan, tempat kerja, dalam komuniti dan keluarga,” ujarnya.

Setakat Ogos 2021, sebanyak 127 siri program pencegahan dan pendidikan pencegahan telah dilaksanakan oleh OSC MIDS Daerah di tempat kerja, institusi pendidikan, dan dalam komuniti.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak