Remaja 12 hingga 15 tahun tanpa masalah kesihatan diberi suntikan vaksin Covid-19 mulai esok

KUCHING: Sarawak akan memberi vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 15 tahun tanpa masalah kesihatan mulai 23 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah berkata, keputusan ini adalah hasil pengumuman mengenai perkara terbabit oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Isnin.

“Beliau (Khairy) memberitahu, remaja berusia 12 hingga 17 tahun akan diberi vaksin Covid-19 di PPV terpilih di seluruh negara.

“Khairy juga memberitahu bahawa Kementeian Kesihatan akan mengumumkan pendaftaran PPV terpilih pada Selasa (hari ini),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kira-kira 3.2 juta remaja dijangka terlibat dalam Program Imunisasi Nasional Covid-19.

Ia dilakukan sebagai persediaan untuk pembukaan sekolah yang dijadualkan pada 3 Oktober dan memastikan risiko jangkitan di sekolah dikurangkan.

“Ini juga untuk mengelakkan wujudnya kes dalam kalangan kanak-kanak di sekolah,” tegasnya.

Justeru, Uggah menasihatkan ibu bapa dan penjaga untuk menggunakan sepenuhnya peluang ini melindungi anak-anak mereka atau mereka yang berada di bawah tanggungjawab mereka.

“Di Sarawak, pejabat kesihatan bahagian akan memilih PPV masing-masing bagi tujuan tersebut.

“Tolong temani anak-anak anda untuk vaksinasi kerana akan ada borang persetujuan yang perlu diisi oleh ibu bapa atau penjaga,” ujarnya.

Suara Sarawak