RMK-12 beri keutamaan kepada pembangunan Sarawak, tuntutan MA63

KUCHING: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) terus memberi keutamaan kepada pembangunan Sarawak termasuk isu berhubung tuntutan berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia termasuk keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan dan keselamatan.

“Penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 kilometer (km) jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo,” katanya dalam pembentangan RMK-12 2021-2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata usaha melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun terutama Sarawak akan dipergiat dan bagi tujuan ini, peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan akan diagihkan kepada negeri ini.

“Peruntukan ini ditumpukan kepada penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi. Saya sendiri akan memantau pelaksanaannya secara dekat,” katanya.

Selain itu, Ismail berkata sebanyak RM4.09 bilion turut diperuntukkan kepada Sarawak bagi pelaksanaan JENDELA sepanjang tempoh RMKe-12.

Katanya dengan peruntukan ini, liputan jalur lebar akan dipertingkat melalui pembinaan infrastruktur digital, termasuk pembinaan menara atau pemancar
telekomunikasi.

“Sehingga Ogos 2021, sebanyak 2,117 infrastruktur digital siap dipasang di Sarawak,” katanya.

Sementara, beliau berkata perkhidmatan penjagaan kesihatan akan dapat dipertingkat dengan siapnya Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata pembinaan 26 buah klinik baharu akan dapat menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di klinik desa di negeri ini.

Di samping itu, katanya pembinaan rumah baharu dan pembaikan rumah daif di bawah program bantuan rumah akan memberi manfaat kepada 26 ribu isi rumah miskin di Sabah dan Sarawak.

Bagi menjamin keselamatan dan meningkatkan hubungan ekonomi dengan Kalimantan, Indonesia, Ismail berkata Kompleks ICQS Tebedu dan Serikin akan dinaik taraf.
Selain itu, katanya projek jalan dari sempadan Ba’kelalan/Kompleks CIQ menghala ke Lawas akan dimulakan pembinaan pada 2022.

Dalam pada itu, beliau berkata Jalan Nanga Tulie ke Rumah Bujah, Nanga Pelagus di Kapit juga akan dinaik taraf dengan kos sebanyak RM280 juta.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak